Jebak Merbuk ini sekarang sudah berusia 15 tahun, berhabuk semasa aku keluarkan dari bilik stor. Masa buat jebak merbuk ini aku tinggal di Taman Jasa Utama, Batu Caves. Waktu itu aku bekerja di kedai barang-barang logam nama kedai itu 'Jasa Hardware'.
Banyak peristiwa menarik tentang jebak merbuk ini, ada satu kisah semasa aku pergi memikat Burung Merbuk di tanah perkuburan Islam Kampung Sungai Kertas aku terserempak dengan arwah Pak Uda atau dikenali sebagai Zami Ismail pelakon dan pelawak sitcom 'Pi Mai, Pi Mai, tang Tu'. Rupa-rupanya beliau tinggal dekat-dekat situ.
Walaupun nampak buruk dan biasa sahaja jebak merbuk ini, sudah banyak mendatangkan hasil kepada aku dan kawan-kawan. Ramai orang minta, tapi aku sayang mahu bagi. Biarlah ia buruk dalam simpanan aku, setiap kali aku memandang jebak merbuk ini pasti kenangan lalu mengusik jiwa. Aku akan tersenyum sendiri, kenangan oh kenangan jauhnya ia sudah berlalu pergi.